
DRAF E-BOOK
Setelah mengenalpasti tema e-book, langkah seterusnya adalah merangka draf e-book. Tujuan atau faedah merangka draf adalah untuk memudahkan anda menyusun isi kandungan e-book dan memudahkan untuk anda mengedit sekiranya ada pembetulan, pertambahan isi kandungan dan sebagainya.
Tidak semestinya anda menulis e-book mengikut kesemua kandungan draf yang telah anda buat. Draf hanyalah panduan untuk memudahkan penulisan dan memudahkan anda memasukkan idea-idea yang baru anda perolehi untuk dimuatkan ke e-book anda. Anda digalakkan merangka draf dengan menyusun isi kandungan mengikut bab.
TEKNIK PENULISAN
Menulis e-book memerlukan suasana yang tenang dan selesa. Jangan sesekali menulis e-book di tempat yang tidak sesuai kerana ini akan mengganggu fokus anda untuk menulis. Selain daripada itu fikiran perlu segar, tidak bercelaru dan yang penting tidak ketandusan idea.
Sekiranya anda mengabaikan perkara-perkara tersebut kerana memikirkan hendak siap cepat, besar kemungkinan e-book yang anda hasilkan tidak seperti yang anda dan golongan sasaran anda harapkan. Anda boleh mula menulis samada mengikut susunan bab yang telah di draf ataupun tidak. Contohnya pada hari ini anda menulis bab 1 dan pada esoknya anda mendapat idea untuk bab 5. Anda boleh terus menulis bab 5 dan boleh menyambung semula untuk menulis di bab1, bila-bila masa yang anda suka mengikut keselesaan anda.
Semasa menulis e-book anda perlu menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami golongan sasaran pasaran anda. Contohnya jika sasaran pasaran anda adalah golongan berpendidikan biasa, anda bolehlah menggunakan bahasa yang bersahaja dan tidak terlalu formal. Sekiranya sasaran pelanggan anda adalah golongan profesional seperti profesor atau ahli falasafah, anda perlu menggunakan gaya bahasa yang sesuai untuk mereka.
Huraikan isi dengan jelas dan tepat. Jika perlu sertakan contoh-contoh supaya pembaca mudah memahami penerangan yang anda sampaikan. Gambar, carta, jadual dan flowcart juga memainkan peranan penting untuk membantu menambahkan lagi pemahaman pembaca dan. e-book anda juga akan kelihatan profisional. Selain daripada itu ia juga dapat membantu menambahkan lagi bilangan muka surat e-book anda.
Akhir sekali setelah e-book anda siap, anda perlu menyemaknya berulang kali sehingga anda benar-benar puas hati bahawa tiada fakta-fakta yang tertinggal dan tiada sebarang kesalahan ejaan, susunan ayat dan sebagainya. Ingat! Sedikit kesilapan akan membuatkan e-book anda cacat dan tidak berkualiti.