4 August, 2009, 1:09 am oleh

Jika pasaran anda ialah semua pengguna internet, kemungkinan tiada siapa menjadi pelanggan walaupun ramai pengunjungnya kerana persaingannya amat sengit. Tidak mungkin pada awal perniagaan anda dapat bersaing dengan perniagaan internet yang besar dan telah lama bertapak. Rahsia untuk menghadapi persaingan sengit tersebut ialah, anda perlulah memfokuskan sasaran pelanggan iaitu menjual produk yang mempunyai pasaran khusus atau lebih dikenali sebagai niche market.
Bagi lebih memahami lagi maksudnya, niche market ialah memasarkan produk yang disasarkan dan ditumpukan kepada satu golongan pelanggan sahaja. Contohnya anda menjual produk komputer. Oleh itu produk niche market anda adalah khusus untuk pengguna dan bakal pengguna komputer sahaja di mana laman web anda hanya menjual produk yang berkisar mengenai komputer dan tidak bercampur aduk dengan produk-produk lain yang tidak berkaitan dengan komputer.
Produk ini membuatkan laman web anda mendapat tempat dan perhatian pengunjung kerana mereka beranggapan anda pakar dan berkredibiliti. Ia juga memudahkan urusan anda kerana anda perlu mengeluarkan produk sendiri atau berurusan dengan pembekal hanya untuk satu produk sahaja. Begitu juga dengan kepakaran mengenai produk, anda hanya perlu mempunyai kepakaran dalam satu bidang produk sahaja.
Berbagai cara untuk mencari produk yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran internet. Kaedah yang mudah adalah anda perlu mengetahui berapa banyak search bagi perkataan atau kata kunci yang berkaitan dengan produk anda di search engine. Lihat berapa banyak laman web yang berkaitan dengan produk anda. Lawati laman web berkenaan dan buatlah kajian samada ia kemaskini ataupun tidak. Jika laman web berkenaan selalu dikemaskini, itu melambangkan produk yang ditawarkan mendapat maklumbalas positif daripada pelawat. Lihat sambutannya samada ia sesuai atau tidak untuk dipilih sebagai produk perniagaan internet anda.
Sesuatu produk yang hendak di jual mestilah anda pakar dalam mengetahui latarbelakang, kebaikkan dan keburukanya, cara menggunakannya dan menjaganya. Biasanya pelanggan akan meneliti setiap produk yang hendak di beli samada ia benar-benar mempunyai ciri-ciri seperti yang di kehendaki. Justeru itu laman web anda memerlukan banyak maklumat berkenaan produk anda yang dipersembahkan sebaik mungkin dan mudah difahami.
Produk yang terhasil daripada kepakaran anda contohnya jika anda pakar dan minat dengan sejenis makanan tempatan yang mempunyai ramai peminat seperti dodol. Segala maklumat mengenai dodol anda tahu semuanya kerana anda adalah pengusaha dodol turun temurun dari datuk moyang anda di kampung. Kita lihat berapa banyak produk yang boleh kita jual di internet berkenaan dodol mengikut jenis produk iaitu fizikal, digital dan perkhidmatan. Produk fizikal adalah dodol yang telah siap, dodol segera supaya pelanggan dapat membuat dodol dengan cepat dan menjimatkan masa, buku resepi dan petua membuat dodol dan buku membongkar kejayaan anda sebagai pengusaha dodol. Produk digital yang dapat di muat turun di internet adalah seperti rakaman video cara membuat dodol, e-book resepi dan petua membuat dodol dan e-book membongkar kejayaan anda sebagai pengusaha dodol. Produk perkhidmatan berkenaan dodol adalah seperti menawarkan kursus online di internet, rahsia dan petua membuat dodol tersedap di dunia, menganjurkan seminar dan bengkel membuat dodol dan mengatur lawatan ke tempat-tempat membuat dodol di Malaysia. Walaupun dalam laman web tersebut mempunyai berbagai produk yag berkisarkan dodol, tetapi ia masih mempunyai ciri-ciri niche market kerana sasaran pasaran adalah khusus untuk peminat dodol sahaja.
Produk yang sukar diperolehi di luar Negara juga sesuai untuk sasaran pelanggan daripada luar negara. Cuba fikirkan, bagaimana untuk menghasilkan atau mendapatkan pembekal sesuatu produk yang sukar didapati di luar negara tetapi mempunyai permintaan yang tinggi di sana. Contoh yang mudah adalah produk seperti kuih-muih tradisional Melayu seperti kuih Baulu Gulung. Ramai rakyat Malaysia yang belajar atau bekerja di luar negara tetapi mereka ini jarang berpeluang merasa kenikmatan kuih ini di sana kerana produk itu sukar di dapati. Ramai pelancong yang pernah merasai nikmat kuih Baulu Gulung ingin merasainya lagi tetapi terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk ke Malaysia bagi mendapatkannya. Justeru itu jika produk ini dipasarkan di internet dengan cara pemasaran dan promosi yang betul, sudah tentu sambutannya amat emberangsangkan.