ARB Dagang.Com
Pengedar Produk Digital Terpilih

11
Aug

Sistem Penerimaan Bayaran

11 August, 2009, 1:04 pm oleh admin

sistem-bayaran

Apabila pelawat tertarik dengan produk yang anda tawarkan, pelawat akan membuat belian dan membuat bayaran. Untuk memudahkan pelanggan anda hendaklah menyediakan kemudahan untuk pelawat membuat bayaran. Terdapat banyak kaedah untuk menerima bayaran .Kaedah yang dikenalpasti sesuai untuk pemasaran di internet adalah sebagaimana berikut;

Wang Pos

Salah satu kaedah menerima bayaran untuk pasaran tempatan ialah Wang Pos. Di Malaysia Wang Pos boleh diperolehi di Pos Malaysia. Pelanggan akan membeli Wang Pos mengikut harga produk dan seterusnya mengeposkannya kepada anda. Bila anda menerima Wang Pos tersebut, anda perlu menunaikan Wang Pos tersebut di Pejabat Pos berhampiran. Perlu diingat, transaksi menggunakan Wang Pos yang diperolehi di Pejabat Pos Malaysia hanya sah di Malaysia sahaja.

Untuk kegunaan transaksi yang boleh diterima di seluruh dunia, Wang Pos melalui pihak ketiga diperlukan. Di antara yang popular ialah Wang Pos Western Union yang boleh diperolehi di www.westernunion.com mengikut jumlah yang dikehendaki secara online. Ia juga boleh diperolehi di wakil-wakil Western Union di negara pelanggan tinggal dan mengeposnya. Jika Wang Pos Western Union tersebut diperolehi secara online, pelanggan tidak perlu mengepos kerana telah di uruskan oleh pengurusan Western Union. Di Malaysia, Wang Pos Western Union boleh ditunaikan di Pejabat Pos dan di BCB Bank.

Untuk memastikan Wang Pos yang anda terima itu tulen, minta pelanggan menghantar e-mail salinan pembayaran. Rujuk nombor kod Wang Pos salinan bayaran tersebut. Masukkan kod tersebut di laman web penyedia Wang Pos pihak ketiga. Penyedia Wang Pos pihak ketiga tersebut akan mengesahkan Wang Pos tersebut tulen atau tidak berdasarkan nombor kod yang dimasukkan.

Cek

Alternatif lain yang boleh digunakan sebagai kaedah pembayaran untuk perniagaan internet ialah cek. Pelanggan menghantar cek berpalang kepada anda menggunakan perkhidmatan pos atau kurier dan seterusnya anda perlu ke bank untuk menukarkannya kepada tunai. Cek perlu disahkan dahulu oleh bank sebelum pesanan di hantar kepada pelanggan untuk mengelakkan kerugian akibat penerimaan cek palsu.

Untuk cek tempatan, pengesahan hanya memakan masa 1 hingga tiga hari, manakala untuk cek luar negeri memakan masa sekurang-kurangnya sebulan bergantung kepada bank mana anda mendebitkan cek tersebut. Untuk cek luar negeri anda dikenakan caj oleh bank tempatan mengikut kadar yang berlainan mengikut bank mana anda berurusan.

Bank In

Cara bank in ini sesuai untuk pelanggan tempatan. Terdapat 3 kaedah untuk sistem bayaran ini. Cara pertama, pelanggan memasukkan sejumlah wang ke akaun bank anda melalui kaunter di bank. Kaedah ini sesuai untuk pelanggan yang tidak mempunyai akaun bank dari bank yang sama dengan akaun bank anda.

Kaedah kedua, pelanggan memindahkan sejumlah wang dari akaunnya ke akaun anda menggunakan mesin ATM. Cara ini sesuai untuk pelanggan yang mempunyai akaun bank dari bank yang sama dengan akaun bank anda. Terdapat juga bank tempatan membenarkan transaksi dengan cara ini walaupun daripada berlainan bank. Kebanyakan bank tempatan mempunyai perkhidmatan ATM.

Kaedah ketiga, pelanggan memindahkan sejumlah wang dari akaunnya ke akaun anda menggunakan perkhidmatan perbankan online di internet. Cara ini juga sesuai untuk pelanggan yang mempunyai akaun bank dari bank yang sama dengan akaun bank anda. Sama seperti kaedah kedua, terdapat sesetengah bank membenarkan transaksi daripada berlainan bank. Di antara bank tempatan yang menggunakan perbankan internet adalah seperti Maybank2u melalui laman webnya www.maybank2u.com.my .

Selesai sahaja pelanggan melakukan pembayaran melalui cara bank in ini, pelanggan hendaklah menghantarkan e-mail kepada anda butir-butir bayaran seperti jumlah bayaran, tarikh bayaran dan masa bayaran. Setelah menyemak akaun anda, dan pasti butiran bayaran yang diberikan oleh pelanggan adalah betul, pesanan bolehlah dihantar kepada pelanggan.

Untuk transaksi ke negara luar, kaedah bank in tidak boleh digunakan walaupun terdapat bank asing di negara ini. Ini adalah kerana sistem perbankan negara ini dikawal selia oleh Bank Negara di mana bank-bank asing yang berada di dalam negara ini di kira sebagai bank tempatan.

Pemilik akaun bank tempatan tidak dibenarkan memindahkan wang ke akaun bank di luar negara. Contohnya pengguna bank Citibank di Amerika Syarikat tidak boleh bank in kepada pengguna Citibank di Malaysia walaupun bank ini adalah daripada syarikat perbankan yang sama

Sekiranya anda mendaftarkan akaun bank seperti bank Citibank di Singgapura, kaedah bank in ini boleh digunakan kerana Singgapura mengamalkan sistem perbankan bebas. Ini bermakna Citibank Amerika boleh membuat transaksi ke akaun Citibank anda di Singgapura.

Telegraph Transfer (TT)

Perkhidmatan TT adalah untuk pelanggan dari luar negara yang ingin membuat bayaran dengan jumlah yang agak besar. Kaedah ini mudah kerana boleh di lakukan oleh mana-mana bank di seluruh dunia. Pindahan wang yang kecil jumlahnya tidak sesuai menggunakan kaedah ini kerana kosnya yang mahal.

Caranya, anda perlu meminta kod SWIFT dari bank di mana akaun anda didaftarkan. Berikan kod SWIFT tersebut dan nombor akaun bank anda berserta maklumat lain seperti alamat, kepada pelanggan anda di luar negara. Setelah itu pelanggan anda di luar negara boleh memindahkan bayaran ke akaun anda. Masa yang diambil untuk bayaran tersebut dimasukkan ke akaun anda adalah dua hingga 3 hari.

Kad Kredit

Kaedah pembayaran menggunakan kad Kredit adalah yang terbaik dan boleh digunapakai di seluruh pelusuk dunia. Kad Kredit menjimatkan masa pelanggan untuk melakukan pembayaran kerana prosesnya cepat dan mudah. Untuk membuat bayaran pelanggan hanya memasukkan butiran yang dikehendaki ke ruangan pemprosesan kad kredit. Anda akan menerima bayaran sebaik sahaja proses bayaran selesai. Oleh itu setiap laman web perniagaan e-dagang mesti menyediakan proses bayaran menggunakan kad Kredit. Pastikan laman web perniagaan internet anda mempunyai kemudahan ini untuk semua jenis kad Kredit iaitu kad Kredit Mastercard, Visa, American Express, Discover dan sebagainya.

SISTEM MEMPROSES BAYARAN KAD KREDIT

  • Internet Merchant Account

Salah satu cara untuk memproses bayaran yang diterima daripada pelanggan yang menggunakan kad Kredit, ialah menggunakan Akaun Pedagang Internet atau lebih di kenali sebagai Internet Merchant Account. Untuk membuka akaun tersebut anda boleh memohonnya daripada Pemproses Langsung (Direct Processor), yang biasanaya adalah bank-bank yang ada menyediakan perkhidmatan pusat pemprosesan kad Kredit.

Cara lain untuk memohon Internet Merchant Account adalah melalui Merchant Account Provider. Ia adalah syarikat yang memberi perkhidmatan untuk membantu peniaga internet mendapatkan Merchant Account. Merchant Account Provider bertindak sebagai orang tengah di antara peniaga internet dan Direct Processor.

Untuk mendapatkan syarikat Merchant Account Provider anda perlulah mencarinya melalui enjin carian dengan menggunakan kata kunci Merchant Account Provider. Setelah anda mendaftar dengan syarikat Merchant Account Provider yang anda pilih, anda akan di berikan perisian dan perkakasan yang diperlukan supaya laman web anda dapat memproses kad Kredit.

Kebiasaannya pihak bank amat berhati-hati meluluskan Merchant Account kepada mana-mana perniagaan yang kebanyakkannya tidak memerlukan tandatangan pengesahan pemegang kad Kredit. Pihak bank biasanya akan meminta dokumen-dokumen yang dapat membuktikan bahawa anda mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Untuk perniagaan internet yang masih baru, anda tidak digalakkan menggunakan Merchant Account kerana bank atau syarikat pemproses kad Kredit sukar meluluskannya. Anda boleh memohon Merchant Account sekiranya perniagaan anda telah berkembang maju dan telah menjana pendapatan yang memuaskan.

  • Pemproses Kad Kredit Pihak Ketiga

Syarikat pemprosesan kad Kredit pihak ketiga bertindak sebagai perantara dengan menerima bayaran menggunakan kad Kredit oleh pelanggan. Anda boleh meminta syarikat tersebut membayar kepada anda mengikut jumlah yang anda kehendaki sekiranya jumlah terkumpul hasil transaksi pelanggan anda melepasi jumlah yang telah ditetapkan oleh syarikat tersebut.

Setiap transaksi pelanggan akan di caj mengikut peratus jumlah bayaran yang di buat. Permohonan untuk mendaftar tidak memerlukan kos yang besar dan mudah. Pemproses kad Kredit pihak ketiga sangat sesuai untuk mereka yang baru menceburkan diri dalam industri perniagaan internet ini.

Terdapat banyak syarikat pemproses kad Kredit pihak ketiga di internet. Antara yang popular ialah WorldPay., 2Checkout dan PayPal.

WorldPay.com

WorldPay mengenakan caj pemasangan sebanyak lebihkurang RM 2000 dan lain lain caj perkhidmatan untuk tahu-tahun berikutnya. Walaupun caj yang dikenakan agak tinggi, tetapi ia mempunyai banyak kelebihannya. Satu akaun WorldPay boleh di gunakan untuk beberapa laman web. Bayaran daripada pelanggan akan dimasukkan terus ke akaun bank anda. Ia adalah salah satu syarikat pemprosesan kad Kredit pihak ketiga yang mempunyai reputasi yang tinggi kerana dimiliki oleh sebuah bank.

Sesuai digunakan untuk memulakan perniagaan internet yang mempunyai kadar jualan yang sederhana. Untuk membuka akaun WorldPay, anda bolehlah mendaftar di www.WorldPay.com. Setelah mendaftar, anda akan diberi panduan bagaimana menghubungkan modul pembelian produk di laman web anda. Anda akan diberikan kod aturcara khas untuk diletakkan di laman web anda supaya laman web anda berfungsi untuk menerima bayaran daripada kad Kredit.

2Checkout.com

2Checkout.com mengenakan bayaran pendaftaran sebanyak USD 49 sahaja, sekali seumur hidup. Tiada caj tambahan untuk tahun berikutnya. 2 Checkout menyalurkan bayaran kepada anda menggunakan cek. Anda boleh menunaikan cek tersebut di bank-bank tempatan. Akaun 2Checkout hanya terhad untuk digunakan untuk satu laman web sahaja. Untuk setiap transaksi jualan akan dikenakan caj sebnyak 5.5 % daripada harga produk. Ia juga adalah salah satu pemproses kad Kredit pihak ketiga yang sesuai digunakan untuk memulakan perniagaan internet yang mempunyai kadar jualan yang sederhana.

Untuk membuka akaun 2Checkout, anda bolehlah mendaftar di www.2checkout.com. Setelah mendaftar, sebagaimana WorldPay.com, anda akan diberi panduan bagaimana menghubungkan modul pembelian produk ke laman web anda. Anda akan diberikan kod aturcara khas untuk diletakkan di laman web anda supaya laman web anda berfungsi untuk menerima bayaran daripada kad Kredit.

PayPal

PayPal adalah pemproses kad Kredit pihak ketiga yang menduduki tempat pertama di dunia dengan jumlah penggunanya melebihi 80 juta pengguna. Ia adalah anak syarikat eBay iaitu sebuah laman web lelongan online popular. PayPal tidak mengenakan caj pemasangan. Jika dibandingkan dengan pemproses kad Kredit pihak ketiga yang lain, PayPal mengenakan caj perkhidmatan yang terendah sekali.

Masalah utama pengguna Paypal suatu ketika dulu kepada rakyat Malaysia adalah ia tidak boleh memindahkan wang ke akaun bank di Malaysia. Kini tidak lagi kerana Paypal boleh memindahkan wang ke akaun pemegang kad Kredit atau Debit rakyat Malaysia.

Kategori : E-Dagang / Sistem Penerimaan Bayaran

Recent Comments
    • admin: betul tu. Itulah sebaik-baiknya....
    • kak nor: kita kena betul2 kenal siapa si-penulis e-book dan tengok ju...
    • Mary Nyangoh: Belum ada komen, kerana belum menyertainya...
    • Mary Nyangoh: Ingin mengetahui lebih lanjut mengenai E-Dagang...
    • Fione Tan: Terima kasih kerana memperkenalkan saya.... Informasi ar...
goStreamyx.com